http://bro67.yolasite.com/

Translate This Page

 Kasut berusia 5,500 tahun ditemui

 KASUT berusia 5,500 tahun yang ditemui di sebuah gua di Armenia.


 LONDON - Kasut kulit tertua di dunia yang wujud 1,000 tahun lebih awal berbanding Piramid di Giza, Mesir dan 400 tahun daripada usia batu Stonehenge di Britain telah ditemui di dalam sebuah gua di wilayah Vayotz Dzor, yang terletak di sempadan Armenia, Iran dan Turki.

Kasut berusia 5,500 tahun itu dijumpai oleh sepasukan arkeologi antarabangsa yang kemudian melaporkan penemuan itu pada kelmarin.

Ia diperbuat daripada sekeping kulit lembu dan mempunyai tali dan dibentuk untuk dipadankan dengan kaki si pemakainya.

Kasut itu berukuran 24.5 sentimeter (sm) panjang dan lebar 10sm dan diperbuat pada zaman Chalcolithic kira-kira 3,500 tahun Sebelum Masihi.

"Tidak diketahui sama ada kasut itu milik lelaki atau perempuan," kata ketua pasukan penyelidik, Ron Pinhasi dari Universiti College Cork, Ireland.

Saiz kasut itu sepadan dengan saiz moden penduduk Eropah iaitu 37.

Keadaan kasut itu yang ditemui dalam keadaan elok turut dibantu oleh lantai gua yang diselaputi oleh najis biri-biri yang tebal.

- Reuters

Gambar pertama

komet jarak dekat

 GAMBAR menunjukkan komet Hartley 2 yang dirakamkan dari jarak dekat kelmarin.


 WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Kapal angkasa Deep Impact milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) merakamkan gambar sebuah komet yang terdekat setakat ini.

Gambar-gambar hitam putih komet berbentuk seperti sebiji kacang tanah dikenali sebagai Hartley 2 itu dirakamkan dari jarak 700 kilometer kelmarin dan ia kemudian dihantar ke sebuah makmal NASA di California, AS untuk dianalisis.

Komet adalah lebihan daripada formasi sistem solar di cakerawala.

Saintis-saintis berminat mengkaji komet untuk mencari petunjuk bagaimana Bumi dan planet-planet lain terbentuk kira-kira 4.5 bilion tahun dahulu.

Jarak terdekat Komet Hartley 2 dari bumi ialah 17.6 juta kilometer pada 20 Oktober lalu selepas ia ditemui pada tahun 1986. - Agensi

 

Katak Afrika makan tikus tanah

 GAMBAR yang disiarkan sebuah akhbar di Britain menunjukkan seekor katak Afrika memakan seekor tikus.

 LONDON - Seekor katak Afrika yang besar dan ganas dirakamkan memakan seekor tikus tanah sebagai hidangannya.

Dengan kulit menggerutu dan berwarna kelabu, ia cukup untuk membuatkan haiwan kecil lain takut untuk berada berhampiran dengannya.

Amfibia karnivor ini dikatakan bersifat agresif, mampu melompat setinggi 3.65 meter dan memiliki gigi yang tajam. Jika digigit, mangsa yang menjadi hidangannya akan berasa seperti terkena serpihan kaca tajam.

Penjaga Kanan Rumah Tropika di Zoo Newquay, Cornwall, Britain, Dan Garrick merupakan seorang pakar dalam memberi makan katak itu yang turut dipanggil sebagai bullfrog atau nama latinnya,Pyxicephalus adspersus itu.

"Ia merupakan katak pemangsa bersaiz besar yang duduk dan menunggu haiwan berjalan di hadapannya. Katak ini dirangsang oleh pergerakan dan akan menyambar hampir semua benda yang berada dalam jangkauannya, termasuklah tikus malang ini," kata Dan yang berusia 30 tahun.

Mangsa akan mati akibat lemas atau terkejut sebelum dihadam.

Jika mangsanya terlalu besar, ia akan memuntahkannya dan menunggu makanan yang lain.

Walaupun nampak ganas, katak ini dikatakan sebagai ibu bapa yang baik dan akan melindungi anak-anaknya daripada diganggu.

Ia gemar menjadikan serangga, tikus tanah, burung malah katak-katak lain sebagai makanannya.

Beratnya boleh mencecah dua kilogram, sepanjang 24 sentimeter dan membentuk kokun air bagi mengelakkan dirinya daripada kering akibat matahari yang terik.

Ia boleh ditemui di bahagian selatan, tengah dan timur Afrika, selain saiznya sedikit kecil berbanding katak gergasi yang hidup di Cameroon. - Agensi

 

Kereta terbang lulus ujian

 KERETA terbang ini menjalani ujian penerbangan di Lapangan Terbang Plattsburg, New York.

 NEW YORK - Dengan hanya menekan beberapa butang sebuah kereta mampu berubah menjadi sebuah kapal terbang dalam masa 30 saat, lapor sebuah akhbar semalam.

Ia mampu terbang pada kelajuan 185.07 kilometer sejam dan bergerak sejauh 724 kilometer dengan menggunakan minyak petrol tanpa plumbum biasa.

Kereta terbang pertama dunia itu dipandu uji oleh seorang juruterbang veteran Amerika Syarikat (AS), Phil Meteer.

Dia mengendalikan kereta terbang itu di Lapangan Terbang Plattsburg, New York.

"Kereta ini terbang seperti sebuah kapal terbang."

Pembuat kereta terbang itu, syarikat Terrafugia dari Woburn, Massachusetts menyatakan ia akan dikeluarkan pada hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Terrafugia, Carl Dietrich berkata: "Kejayaan itu akan mengubah pergerakan peribadi di dunia."

Kereta sepanjang 5.79 meter itu berharga AS$182,405.31 (RM664,145). - Agensi

This free website was made using Yola.

No HTML skills required. Build your website in minutes.

Go to www.yola.com and sign up today!

Make a free website with Yola